Jumaat, 13 Februari 2015

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat Meninggal Dunia


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat, selepas menerima rawatan selama 25 hari di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 9.40 malam di sisi ahli keluarganya, di rumahnya di Pulau Melaka, kira-kira satu jam selepas keluar daripada HUSM.

Bapa kepada 10 orang itu meninggalkan balu, Tuan Sabariah Tuan Ishak, menghidap penyakit kanser prostat tahap empat.

Anaknya, Nik Mohammad Abduh, ketika mengesahkan perkara itu berkata, ayahnya meninggal dunia di sisi semua ahli keluarga mereka.

"Saya ingin memaklumkan pada jam 9.40 malam iaitu malam Jumaat ayahanda saya menghembuskan nafas terakhir.

"Kita akan mengadakan solat jenazah  pada malam ini dan urusan pengebumian ayahanda akan dilakukan esok," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

ORANG ramai mengunjungi rumah Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Jembal. - Foto Fathil Asri

ORANG ramai mengunjungi rumah Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Jembal. - Foto ihsan pembaca
Antara yang hadir termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan untuk ayahanda.

Solat jenazah dijangka diadakan pada jam 10 pagi esok di Masjid Pulau Melaka dan jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka untuk dikebumikan.

Orang ramai yang ingin menziarahi dikehendaki menggunakan kenderaan 'shuttle' yang akan disediakan di dataran Stadium Sultan Muhammad IV mulai jam 7.30 pagi esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka menziarahi jenazah Nik Aziz kira-kira jam 9 pagi esok,

Sementara itu, seramai lebih 2,000 orang ramai mula membanjiri kawasan kediaman Allahyarham, sebaik mendapat berita pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka.

Suasana sedih menyelubungi pekarangan kediaman Allahyarham apabila orang ramai yang hadir ternyata gagal menahan sedih dan beratur untuk masuk secara bergilir-gilir ke kediaman Allahyarham.

ORANG ramai mula membanjiri kediaman Nik Aziz sebaik mendapat maklumat pemergian Allahyarham. - Foto Nor Fazlina Abdul Rahim
Biodata

DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Tahun Lahir: 10 Januari 1931

Tempat Lahir: Pulau Melaka, Kelantan

Status:

Berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak dan memperolehi 10 cahaya mata (5 lelaki & 5 perempuan). Kesemua anak-anaknya mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama.

Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan) - 1936.

Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian.

Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu.

Universiti Deobond, India - 1952.

Lahore, Pakistan - Ilmu Tafsir Quran - 1957.

Universiti Al-Azhar, Mesir - Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.

Universiti Al-Azhar, Mesir - Sarjana Perundangan Islam.

Penguasaan Bahasa:

Melayu, Inggeris, Tamil, Urdu, Arab

Pekerjaan:

Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor.

Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka.

Penyelia Kelas Dewasa - KEMAS.

Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Politik:

1967 - Daftar sebagai ahli PAS.

1967-1969 -Pilihanraya Kecil - Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1969-1974 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1974-1978 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa).

1978-1982 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1982-1986 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1986-1990 - Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan (kini dikenali DUN Chempaka).

1990-2013 - Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan: